Oleh Tuan Nur Suhaila Raja Muhammad
bhsastera@nstp.com.my
Puisi berteraskan sejarah, cerita rakyat, nilai Islam, budaya dan bahasa jadi pilihan
PENTAS Baca Naskhah dan Puisi sempena Seminar Wajah Kepengarangan Muslimah Nusantara mengangkat sejarah dan cerita rakyat sebagai inti sari persembahan pengarang wanita dari Malaysia, Brunei Darussalam, Thailand, Indonesia mahupun Singapura.
Acara anjuran Persatuan Kesusasteraan Bandingan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Dewan Seminar DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini, turut diwarnai dengan puisi yang mengangkat nilai Islam, budaya dan bahasa.
Pemuisi Singapura, Rasiah Halil, mendeklamasi sajak nukilannya ketika berusia 18 tahun, Doa Dang Anum, ditulis berdasarkan sejarah silam Singapura mengenai anak gadis Sang Rajuna Tapa yang dihukum sula oleh sultan akibat fitnah mereka yang iri hati kepada keluarganya.
Aku akan disula, Tuhanku
dituduh bermukah
dihina bagai perempuan murah
kerana berkata benar adalah derhaka
sedang sida-sida
cintanya diselempangi hasad
jujurnya ditanjaki pangkat
ditafsir setia
apakah Bukit Larangan ini disulap
oleh bisanya keris
riuhnya petanda
gergasinya Siam dan Majapahit
sehingga nyawa semurah suasa
keadilan pemanis watikah
dan derita seorang Anum
hanya disebut dongeng purba?
Penyair Malaysia, Dr Zurinah Hassan lewat Pesan Si Luncai yang didendangkan dengan iringan gitar dan harmonika oleh anaknya, Muhammad Faiz Saaid, menampilkan sindiran tajam ikon cerita rakyat itu yang berjaya melepaskan dari daripada hukuman bunuh dengan tipu daya watak licik itu.
Ya, aku telah berjaya
kejayaanku adalah kemenangan rakyat
menyatakan persamaan
sesama makhluk Tuhan
aku mengelak hukuman raja
dengan akal bijaksana
akal yang sewajarmya dicerna
merancang kebangkitan bangsa
ke era kehidupan sempurna.
Namun, sayang sekali
harapan rakyat tidak menjadi
setelah berkuasa kuabaikan negeri
kerana hanyut di lautan berahi
gilakan Puteri Lela Kendi….
Pemuisi Thailand, Aminah Yasalam, menyampaikan pesanan kepada manusia sekian alam agar sentiasa bersedia menghadapi ajal dan tidak menyesal kerana ia datang tanpa diduga dalam puisi, Ajal, nukilan pemuisi Pattani, Hanis Soleh.
Tiada siapa dapat menduga
entah bila ajal menjemput
insan masih leka
berfoya-foya bergelak ketawa.
Tiada menyedari
segala hiruk perjalanan ini
tiada berfikir hari esok
tiada peduli.
Penulis dan pemuisi Indonesia, Kirana Kejora, tampil dengan bacaan puisi teaterikal ala monolog lewat Tarian Hidup Sang Penari yang digarap khas untuk novelnya, Giok Untuk Didu, mengisahkan kesetiaan persahabatan dua kanak-kanak.
Aku hanya penari yang bisa meliukkan tubuhku dengan indah
buat senyuman para penikmat tarianku
namun jiwaku sendiri tak tentu arah
meliuk
terseok
terjerembab
dalam lumpur kisah yang tenggelamkan semua tarian hidupku.
Tarian Srimpi kuliukkan
kumolekkan tubuhku muat menyebar mimpi ke semua yang melihatku
meski aku sendiri tak pernah punya mimpi lagi.
Wakil e-Sastera, Hasimah Harun, beraksi dengan Sang Semut karya Fahd Razy yang mengingatkan khalayak agar bermuhasabah diri dan merenung kembali bahawa dalam setiap tindakan perlu ada pertimbangan.
Apa khabar cakerawala dan petala bumi?
Apa khabar para sahabat azali?
Nyata kau masih jujur menjadi keakraban hakiki.
Akulah hidup dan kau kematian
akulah kerdil dan kau akal fikiran
akulah nafsu dan kau renungan
akulah cinta dan kau kemulusan
akulah ibadat dan kau kekusyukkan
akulah pengembara dan kau kerikil perjalanan.
Pada malam Seminar Wajah Kepengarangan Muslimah Nusantara, acara baca naskhah dan puisi karya Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dipetik khusus daripada Kumpulan Puisi Syurga Kesembilan dijayakan beliau sendiri, Hudan Hidayat, Johannes Sugianto, Silfia Hanani, Emmy Marthala, Jaafar Hamdan, Majuni Plera, Shahrun Nizal Mohd Nor, Ras Adiba Razi dan Iedet.
Sumber : Berita Harian Malaysia, edisi 09 April 2009
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Sastera/20090409102905/Article/